|
Buku ini merupakan sebuah karya yang diadaptasikan daripada sebuah kitab klasik yang ditulis oleh Syeikh Daud bin Abdullah al-Fatani. Judul asal buku ini ialah ‘‘Kasful Ghummah Pada Menyatakan Kelakuan Orang Mati Dan Hal Hari Kiamat’’.
Apa yang dilakukan oleh penyusun melalui karya ini ialah menyusun dan menyaring semula dalam bentuk peringkasan kepada huraian yang panjang lebar oleh pengarang asalnya. Di samping itu karya adaptasi ini juga diolah dalam bentuk gaya bahasa yang lebih moden supaya memudahkan para pembaca untuk memahaminya.
Dalam keadaan-keadaan tertentu penyusun juga menterjemahkan semula beberapa teks bahasa Arab daripada buku asal agar lebih difahami, berbanding bahasa klasik yang dimuatkan pada karya asal yang lebih sesuai dengan kefahaman dan penggunaan bahasa melayu klasik masyarakat pada ketika itu.Selain itu penyusun juga mengolah semula beberapa sub judul daripada buku tersebut agar kelihatan lebih tersusun dan menjadi mudah dan jelas apabila dibaca.
Satu perkara yang tidak dapat dinafikan bahawa Syeikh Daud al-Fatani merupakan salah seorang tokoh ulama Nusantara yang ulung yang telah meninggalkan jasa dan warisan ilmu sehingga dapat dimanfaatkan oleh kebanyakan umat Islam di Malaysia khususnya dan di Nusantara amnya.
Beliau telah mengarang pelbagai ilmu agama dalam aneka tajuk dan perbahasannya meliputi ilmu Fekah, Usuluddin dan Tasawuf. Tidak keterlaluan dikatakan bahawa beliau merupakan salah seorang yang membentuk hala tuju masyarakat Islam Malaysia dan Nusantara dalam menghayati amalan keagamaan mereka.
Justeru, dengan terbitnya buku ini adalah diharapkan ia menjadi kesinambungan kepada amal jariah beliau agar dimanfaatkan oleh masyarakat pada masa kini yang kurang mahir memahami teks-teks kitab agama klasik, apatah lagi kitabkitab tersebut juga terhad di pasaran dan hanya berlegar penggunaannya dalam kalangan mereka yang terlibat secara langsung dalam pengajian ilmu agama Islam, serta mereka yang berkebolehan membaca tulisan jawi dan memahami gaya bahasa lama.
Pengolahan semula karya beliau melalui penerbitan ini adalah terhad kepada tajuk yang membahaskan perihal kematian dan hal ehwal yang berlaku di alam Barzakh sahaja, walaupun pada hakikatnya karya Syeikh Daud merangkumi hal ehwal bermula daripada kematian, alam kubur dan seterusnya, sampailah hal-hal yang bersangkut paut dengan hari akhirat.
Selain daripada pengolahan semula karya Syeikh Daud al-Fatani melalui buku ini, penyusun turut memasukkan sedikit perbincangan daripada sumber yang lain iaitu nukilan semula daripada buku yang pernah dihasilkan oleh penyusun sebelum ini yang pernah diterbitkan dalam dua versi iaitu ‘‘Panggilan Kubur’’ dan ‘‘Perjalanan di Alam Barzakh’’.
Buku ini adalah saringan daripada kitab at-Tazkirah fi Ahwal al-Muata wa Umur al-Akhirah oleh Imam al-Qurtubi membincangkan tajuk yang sama dibincangkan oleh Syeikh Daud dalam bukunya. Walaupun begitu nukilan semula daripada buku tersebut melalui penerbitan ini adalah amat sedikit dan hanya berlegar pada tajuk-tajuk tertentu yang mana penyusun menyatakan sumber ambilannya pada akhir tajuk tersebut.
Tujuannya supaya pembaca dapat membezakan antara penulisan yang bersumber daripada warisan Syeikh Daud dan juga al-Imam al-Qurtubi. Adalah diharapkan penerbitan buku ini dapat menjadi kesinambungan kepada jasa penulis asalnya untuk dimanfaatkan oleh umat Islam generasi demi generasi.
Sesungguhnya menyelami isi kandungan buku ini pada pandangan penyusun dapat menambahkan keimanan dan ketaqwaan, yang mana ia adalah manifestasi daripada anjuran Rasulullah s.a.w supaya umatnya memperbanyakkan mengingati kematian.
Dengan cara mengingati kematian akan mengawal manusia daripada dihanyutkan oleh arus hawa nafsu yang sentiasa mendorong mereka ke arah keburukan. Semoga penerbitan buku ini menjadi salah satu sebab ke arah menghayati anjuran junjungan Rasulullah s.a.w seperti yang disebutkan.
|